Pages

19 Mar 2008

Mahasiswa Islam dalam Mendepani Cabaran Masa Depan

Negara kita pada 8 Mac 2008 yang lepas baru sahaja melalui satu proses demokrasi dalam memilih pemimpin. Umum telah mengetahui perkara ini. Pilihanraya umum merupakan satu medan untuk rakyat memilih masa depan yang ingin dikecapi dalam masa 4-5 tahun yang akan datang. Apa yang ingin dibangkitkan oleh penulis di sini bukan berhubung soal politik tetapi perkara yang lebih besar lagi adalah adakah mahasiswa kini mengambil bahagian dalam menetukan halatuju negara kita? Rata-rata kita lihat hari ini mahasiswa semakin hilang taringnya dalam menjadi role model kepada masyarakat luar. Sifat keintelektualan kini terkakis dan semakin jauh daripada dunia mahasiswa. Mahasiswa kini berdepan dengan satu cabaran atau budaya yang dapat menggagalkan matlamat mereka untuk menuntut ilmu di menara gading ini. Budaya hendonisme bukan sahaja membarah di dalam masyarakat luar di negara kita namun lebih malang lagi golongan mahasiswa juga tidak terkecuali.


Mahasiswa Selaku Modal Insan Masyarakat


Bagaimana seharusnya seorang mahasiswa berketerampilan di tengah-tengah masyarakat pada dewasa ini? Lebih-lebih bagi kita yang beragama Islam? Persoalan yang sepatutnya kita muhasabahkan setiap kali kita melihat kes-kes sosial yang berlaku melibatkan mahasiswa terpapar di dada-dada akhbar arus perdana. Isu pelajar universiti bekerja di pub-pub, ditangkap khalwat, melahirkan anak luar nikah dan pelbagai lagi masalah sosial yang lain melibatkan mahasiswa seharusnya menjadi tumpuan dan kebimbangan kepada para intelektual dan ilmuan. Perkara-perkara sedikit sebanyak telah menjatuhkan martabat golongan mahasiswa yang seketika dulunya dipandang tinggi oleh semua lapisan masyarakat. Apakah kita tidak mengambil pengiktibaran yang telah Allah turunkan pada umat-umat terdahulu akibat kelalaian dan keingkaran mereka dalam mematuhi hukum-hukumNya. Dan kita kena tanam dalam minda kita bahawa kemurkaan Allah itu bukan sahaja dicampakkan kepada mereka yang melakukan perbuatan mungkar tersebut bahkan mereka yang beriman juga akan terkena tempiasnya sekali. Justeru itu, wajar bagi setiap di kalangan kita untuk menegur sahabat-sahabat kita apabila melakukan perkara yang bertentangan dengan syariat Allah S.W.T. Mahasiswa Islam seharusnya menjadi contoh teladan kepada sahabat-sahabat kita yang bukan beragama Islam. Janganlah kita menjadi fitnah kepada Islam akibat akhlak kita yang tidak terjaga.


Hakikat Segulung Ijazah


Suka untuk penulis berkongsi tentang pandangan seorang pensyarah apabila mendapati pelajarnya kurang mengambil endah tentang keadaan semasa negara. Pensyarah tersebut telah memberikan satu contoh yang cukup untuk membuatkan kami berfikir tentang betapa peri pentingnya mengambil tahu tentang hal ehwal semasa negara agar kita tidak ketinggalan dan dituduh sepeti katak di bawah tempurung. “Andaikan suatu hari nanti kamu pergi ke tempat kerja. Dan mendapati suasana sunyi dalam perjalanan ke tempat kerja, adakah kamu masih tidak menghiraukan lagi keadaan ketika itu? Nanti malu UTM la apabila kamu pergi ke tempat kerja ketika perintah berkurung berkuat kuasa”, kata beliau pada kami. Inilah akibat yng bakal berlaku jika tidak mengambil cakna perkembangan semasa. Realitinya, kita tidak hidup bersendirian. Terdapat banyak pihak yang terlibat dalam hidup kita. Samada secara langsung atau tanpa kita sedari. Dan perkembangan semasa ini sedikit sebanyak boleh mengubah perancangan kehidupan kita. “Life is not just about a piece of degree”.


Muhasabah Selaku Kepimpinan


Bagi yang memegang apa jua amanah di dalam kampus ini, samada yang berbentuk persatuan pelajar, agama atau akademik kita wajar untuk mengambil sedikit pengiktibaran tentang keadaan suasana dalam negara ini selepas pilihan raya umum ke-12. Kesatuan dalam berorganisasi merupakan tunjang utama dalam mencapai matlamat akhir persatuan/badan yang kita bawa. Jangan kita sesekali mengedahkan peranan atau saranan orang bawahan kerana kadang-kadang pendapat dan idea di peringkat bawahan ini dapat menampung kekurangan yang mungkin kita tidak nampak di peringkat atasan. Berusahalah untuk menjadikan Islam sebagai satu cara hidup is the best and only option we do have. Wassalam....


“Wahai Tuhan Kami, berilah kami perasaan takut kepadaMu yang dapat menghalang kami dari kemaksiatan dan berilah kami ketaatan kepadaMu yang menyampaikan kami ke syurgaMu, dan berilah dan berilah keyakinan yang memudahkan kami menghadapi bencana di dunia.”



[Artikel ini telah disediakan untuk dimuatkan dalam keluaran Seruan Jumaat, Persatuan Mahasiswa Islam UTM pada 21hb Mac 2007]

No comments:

Total Pageviews