Pages

30 Oct 2007

Mahasiswa dan Amanah

Salam mahasiswa diucapkan.
Sedar ataupun tidak sedar, final exam makin menghampiri mahasiswa UTM.
Kita akan disibukkan dengan ulangkaji dan assingment yang masih lagi tertangguh. Apa pun, diharapkan para mahasiswa sekalian tabah dalam menunaikan tanggungjawab selaku mahasiswa.

Terbaru tentang perkembangan MPP UTM kita ni. Saya Tuan Ahmad Zahidi b. Tuan Abdul Rahman diletakkan selaku Pengerusi Jabatan Kerohanian dan Sosial pada sesi kali ini. Diharapkan pada sesi ini, tugas ini dapat saya jalankan dengan baik di samping kebajikan mahasiswa sekalian tidak dilupakan.

Amanah yang berat ini bukan mudah untuk kita pikul. Fakulti Kejuruteraan Mekanikal masih banyak perkara lagi dapat diperjuangkan. Dengan surau barunya yang kecil dan berhampiran tandas serba sedikit menyebabkan ada di antara mahasiswa kurang berpuas hati. Insyaalah perkara inilah yang menjadi keutamaan saya pada semesta hadapan.

Sekali lagi, saya mengucapkan selamat berjuang pada sahabat-sahabat sekalian dalam peperiksaan akhir sem ini. Moga saya dan mahasiswa sekalian mendapat keputusan yang terbaik dalam pertempuran ini. Sekalian, selamat maju jaya.v(n.n)~

23 Oct 2007

Mahasiswa sebagai Ajen Pengubah Masyarakat

Salam MAHASISWA sahabat-sahabat sekalian,
Buat sekalian kalinya kita dapat menyambut kehadiran 1 Syawal yang dinanti-nantikan oleh kita semua. Seharusnya kita lebih menzahirkan rasa kesyukuran kita padaNya di bulan dan hari yang baik ini. Setelah kita menyambut hari lebaran, kita sama-sama kembali menjalankan tugas masing-masing selaku mahasiswa UTM demi memburu segulung ijazah.

Apa yang nak saya lontarkan di sini agar kita sama-sama berfikir tentang hakikat sebenar segulung ijazah yang kita kejarkan itu. Apakah kepentingan kita menuntut ilmu selama ini? Adakah sekadar menjalankan tanggungjawab sebagai anak yang taat dengan memenuhi hasrat ibubapa kita? Ataupun kita mengharapkan pekerjaan yang yang hebat dan gaji yang lumayan dengan segulung ijazah yang bakal kita gapai nanti? Semua persoalan-persoalan ini terserah pada diri anda sendiri bagaimana hendak menjawabnya.

Apa pun yang lebih penting dan yang sepatutnya diutamakan sebenar adalah ilmu yang kita dapat di menara gading ini haruslah memberi manafaat kepada masyarakat di luar sana. Saya melihatkan masyarakat kita terlalu kronik dan mahasiswalah yang sepatutnya mendahului mana-mana golongan dalam usaha untuk mengubahnya. Di sini letaknya peranan sebenar anda selaku MAHASISWA yang mempunyai keupayaan intelektual yang lebih tinggi berbanding mat-mat rempit, mat-mat gian dan pelbagai lagi mat-mat yang terdapat di luar sana.

Kita tidak seharusnya membiarkan masyarakat Malaysia hanya dicorakkan dengan idealisme-idealisme yang berkiblatkan Barat. Adalah menjadi kewajipan bagi mahasiswa untuk menyumbang kepada pembangunan masyarakat bukan sahaja daripada aspek material bahkan yang lebih utama adalah spritual. Jiwa-jiwa masyarakat kita gersang dengan akhlak/moral yang luhur, bukan saya hendak menafikan kesopanan yang ada pada sebahagian masyarakat yang lain.

Saya rasa cukup sakadar itu untuk lontaran idea dan pandangan kali ini. Saya amat mengharapkan pada masa akan datang MAHASISWA akan mampu berdiri dalam menyatakan pandangan untuk kemajuan masyarakat Malaysia. Sekian.v(n.n)~

8 Oct 2007

Mahasiswa dan Kepimpinan Baru MPP

Salam mahasiswa saya ucapkan kepada mahasiswa-mahasiswi UTM sekalian,
Hari ini seperti yang dijanjikan saya akan mengumumkan keputusan undian yang telah dijalankan pada petang ini. Secara keseluruhannya, kabinet MPP 2007/08 dihiasi dengan muka-muka baru dan muka-muka lama seperti Fazullah masih lagi berada di kalangan exco. Untuk pengetahuan Fazullah atau lebih mesra dipanggil sebagai Che Lah merupakan calon umum yang menang pada PRK kali ini.

Berikut adalah senarai Majlis Tertinggi Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) 2007/08 :

1) Presiden : Mohd. Hafiz bin Johari (calon umum tempat ke-4)
2) Timb. Presiden : Nurul Huda binti Bahuddin (calon umum tempat pertama)
3) S/U Agong : Hafizah binti Ahmad Pua'at (calon fakulti FSKSM tempat pertama)
4) Bendahari : Mohd. Hafis bin Sulaiman (calon umum tempat ke-2)
5) Naib Presiden-Aktiviti : Mohd Ashraf bin Basarudin (calon fakulti FKKKSA tempat ke-2)
6) Naib Presiden -Pengurusan : Siti Zaleha binti Misnan (calon fakuti FKSG tempat ke-2)
7) Naib Presiden -Fakuti : Muhammad Zulkhairi bin Johari@Jahari ( FKM tempat ke-2)
8) Naib Presiden -Kolej : Aswadi bin abdul Rahman (calon fakulti FKE tempat ke-2)
9) Naib Presiden -UTMKL : Mohd Azami bin Zokerefli (calon pro-mahasiswa UTMKL)

MARS KEPANDUAN - SHOUTUL HAROKH



Kepada semua sahabat-sahabat, saya tujukan video klip ini untuk tatapan, walaupun video klip ini dari Indonesia, namun kita adalah serumpun

5 Oct 2007

Mahasiswa dan Peperiksaan

Salam Mahasiswa para sahabat-sahabat sekalian,

Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran kita panjatkan pada Allah kerana kita masih diberikan nyawa ini yang merupakan pinjaman sementaraNya kepada kita.

Setelah berakhirnya tempoh PRK baru-baru ini, kini para mahasiswa kampus tertumpu kepada peperiksaan akhir semesta yang bakal menjelma tidak lama lagi. Saya sebagaimana mahasiswa biasa juga tidak terlepas daripada bahang tekanan peperiksaan ini.

Namun kita kena ingat sahabat-sahabat sekalian, bahawa dalam kita berusaha untuk mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan kita juga harus berusaha untuk menjadi insan yang mampu membezakan baik buruk sesuatu perkara. Di sini apa yang ingin saya utarakan adalah kita jangan menjadi sekadar pak turut. Apabila disuruh angguk, kita akan angguk. Dan apabila disuruh geleng, kita akan menggeleng sepenuh hati. Tanpa memikirkan kesan yang bakal kita terima pada masa akan datang. Suka untuk saya paparkan apa yang berlaku pada kepimpinan MPP yang lepas. Bukan untuk menyakitkan hati sesetengah pihak tapi kita ambil iktibar agar perkara sebegini tidak akan berlaku dalam kepimpinan MPP kali ini. Saksikanlah. http://www.youtube.com/watch?v=BgyvyHbqquU

Dan dalam kesempatan ini juga, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada muslimin dan muslimat UTM. Sambutlah Hari Raya kali ini dengan penuh bijaksana.

Dan pada jam 3.00 petang ini (8 Oktober 2007) calon yang menang dalam PRK kali ini akan mengadakan mesyuarat kali pertamanya dengan Dato' TNC HEP kita. Saya ternanti-nanti apa yang bakal berlaku dalam kabinet MPP kali ini. Insyaallah pada post yang akan datang saya akan melaporkan perkembangannya.

Akhir kalam, majulah akademik untuk UTM.....

3 Oct 2007

Mahasiswa dan Kepimpinan

Salam mahasiswa sahabat-sahabat sekalian,

Kalau semalam (1hb Oktober 2007) saya masih lagi mahasiswa biasa macam anda semua namun pada hari ini, tepat pukul 7.50 mlm ini (2 Oktober 2007) anda semua warga FKM telah melantik saya sebagai wakil anda dalam Majlis Perwakilan Mahasiswa (MPM) 2007/08.
Saya ingin mengucapkan bebanyak syukur kepada Ilahi dan terima kasih kepada anda kerana sudi memilih saya untuk mewakili suara anda di FKM.

Sahabat-sahabat sekalian,

Sesungguhnya teramat besarlah amanah yang anda telah berikan kepada saya. Dalam ayat 72 Surah Al-Ahzab Allah telah menyatakan betapa beratnya amanah kita selaku Khalifah Allah di muka bumi ini dengan firmannya berbunyi "Sesungguhnya Kami telah mengemukakan amanat kepada langit, bumi dan gunung-ganang, maka semuanya enggan untuk memikul amanat itu dan mereka khuatir akan mengkhianatinya, dan dipikullah amanat itu oleh manusia. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan amat bodoh". Dalam ayat tersebut Allah telah menggambarkan betapa beratnya amanah yang dipikul oleh manusia sehinggakan langit, bumi dan gunung-ganang pun tidak sanggup untuk memikulnya. Tapi manusia dengan jahil dan angkuhnya menerima amanah Allah yang berat in. Maka dengan itu sudah menjadi kewajipan saya untuk menunaikan amanah ini. Bagi pihak diri saya, saya amat berharap agar kita dapat bekerjasama pada masa-masa akan datang. Gunakanlah diri ini sepenuhnya. Sampaikanlah segala permasalahan-permasalahan di FKM kepada saya agar tindakan yang sewajarnya dapat diambil.

Ingatkan diri ini jika lupa akan tanggungjawab ini. Sentiasa mengambil tahu akan perkembangan fakulti. Itulah sahaja harapan saya pada anda semua selaku penyokong saya.
Salam mahasiswa.

Total Pageviews