Pages

27 Aug 2008

RAMADHAN DI AMBANG KEMERDEKAAN

oleh : Mohammad Yusof b. Ahmad, Timb. Presiden PMIUTM 2008

COUNTDOWN ULANG TAHUN KEMERDEKAAN


Tarikh keramat 31 Ogos 2008 bagi seluruh rakyat Malaysia bakal kunjung tiba. Negara akan meraikan ulang tahun kemerdekaan yang ke-51 dalam masa dua hari lagi. Semangat patriotisme yang tinggi dan menebal dalam diri setiap individu menjadikan Malaysia sebuah negara yang cukup istimewa. Atas nama cintakan negara, rakyat Malaysia telah bersatu-padu tanpa mengira kaum dan agama dalam melonjakkan nama negara di arena antarabangsa dalam pelbagai bidang seperti ekonomi, teknologi, perubatan dan pendidikan. Persoalannya, sejauh manakah kemerdekaan yang telah dikecapi selama 50 tahun ini dihayati dan dijadikan pemangkin dalam memajukan diri dan negara terutamanya golongan muda selaku pewaris bangsa dan negara. Umum mengetahui bahawa ramai di kalangan golongan pasca merdeka ini seolah-olah alpa dengan kesenangan dan kemewahan yang dirasai semenjak kecil kerana tidak pernah merasai kesusahan dan kepahitan hidup di zaman penjajah. Perkara ini tidak boleh dipandang enteng lantaran kemerdekaan dan kebebasan masa kini mungkin hilang dalam sekelip mata jika rakyat lena dibuai mimpi indah.


KENANG JASA PEJUANG KEMERDEKAAN


Menyingkap kembali tirai perjuangan orang-orang terdahulu seperti Tok Janggut, Mat Kilau, Hj Abdul Rahman Limbong dan Tok Ku Paloh, mereka telah menjadi ‘front liner’ dalam membebaskan tanah air dari belenggu penjajah. Mereka sanggup menggadaikan nyawa dan mengorbankan segala-segalanya demi kepentingan agama, bangsa dan negara. Mereka menentang kerana kebenaran dan mereka tidak pernah kenal erti takut dan berputus asa dalam merintangi ranjau berduri. Sehinggakan, pihak penjajah menuduh mereka sebagai pengkhianat walhal merekalah pembela bangsa. Kita sepatutnya bersyukur kerana negara ini dikurniakan dengan orang-orang yang berjiwa pahlawan seperti mereka. Tanpa keringat yang dicurahkan mereka, kita mungkin masih berada dalam cengkaman Barat. Justeru, bagaimana kita ingin menghayati kemerdekaan ini mengikut lunas-lunas Islam sebagai seorang muslim?


HAYATI KEMERDEKAAN


Kemerdekaan adalah satu nikmat yang besar dikurniakan oleh Allah kepada hambanya. Sebagai seorang muslim, adalah wajar kita menyambut ulang tahun kemerdekaan yang mendatang ini dengan penuh rasa syukur dan insaf. Perasaan sayang dan cintakan negara perlu disuburkan dalam jiwa kita. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud “ cintakan negara adalah sebahagian daripada iman”. Nabi dan para sahabat banyak berperang dalam mempertahankan Islam dan tanah air. Oleh itu, kemerdekaan yang dikecapi ini perlu kita pertahankan. Kita tidak hanya mahu bebas dari sudut luaran tetapi kita juga perlu merdeka dari sudut pemikiran dan cara hidup. Kita perlu menyedari akan hakikat bahawa pihak Barat sentiasa cuba untuk mempengaruhi gaya hidup kita terutamanya dalam aspek pemakanan, pakaian dan hiburan. Sering kali apabila tibanya ulang tahun kemerdekaan, rakyat disajikan dengan hiburan-hiburan yang melampau. Artis disanjung tinggi melangit melebihi pejuang-pejuang kemerdekaan. Konsert yang dianjurkan kononnya meraikan kemerdekaan telah menyediakan banyak ruang maksiat. Percampuran antara lelaki dan perempuan tidak dapat dielakkan dan golongan remaja mengambil kesempatan untuk berasmara melepaskan rindu. Lebih menyedihkan apabila melihat muda-mudi pulang ke rumah tatkala fajar mula menyingsing selepas menyambut kemerdekaan dalam keadaan mabuk. Solat Subuh ditinggalkan tanpa ada perasaan bersalah. Adakah ini yang dikatakan zaman dah berubah???Biarlah zaman berubah mengikut peredaran masa tetapi kita perlu sentiasa teguh dengan pegangan Islam. Dalam menyambut kemerdekaan, kita sepatutnya lebih mendekatkan diri kepada Allah atas dasar kesyukuran dan keinsafan. Mensyukuri keharmonian dan kedamaian yang diberikan kepada kita dan menginsafi kesusahan dan kepayahan hidup saudara seagama kita yang tinggal dalam suasana perang. Qiamullail, berzikir, membaca al-Quran dan bertafakkur adalah amalan kita sebagai muslim sejati pada malam kemerdekaan.


MERDEKA DARI BELENGGU NAFSU


Antara sedar ataupun tidak, bulan Ramadhan yang terkandung di dalamnya pelbagai fadhilat sudah hampir menemui kita. Ramadhan ini cukup sinonim dengan kemerdekaan. Mahu tidak mahu, kita sebagai umat Islam wajib untuk melaksanakan ibadah puasa yang merupakan latihan rohani dan jasmani. Pelik dan hairan apabila melihat ramai yang masih ingkar akan suruhan Allah walaupun syaitan telah dirantai pada bulan Ramadhan. Hal ini kerana kita sebenarnya berhadapan dengan hawa nafsu yang sentiasa cuba menyimpangkan manusia. Nafsu jika tidak ditunggangi oleh akal yang waras akan memacu kita ke arah kebinasaan hatta kita berada dalam bulan yang mulia sekalipun. Peristiwa yang menggambarkan kedegilan nafsu ini telah dirakamkan dalam sebuah kitab karangan Utsman b. Hasan b. Ahmad Asy-Syaakir Alkhaubawiyi, seorang ulama pada abad ke XIII Hijrah. Setelah nafsu dicipta, Allah S.W.T berfirman kepadanya yang bermaksud : "Wahai nafsu, mengadaplah kamu!". Nafsu tidak menjawab sebaliknya mendiamkan diri. Kemudian Allah S.W.T berfirman lagi yang bermaksud : "Siapakah engkau dan siapakah Aku?". Lalu nafsu berkata, "Aku adalah aku dan Engkau adalah Engkau." Setelah itu Allah S.W.T menyiksanya di dalam neraka Jahim selama 100 tahun dan kemudian mengeluarkannya. Kemudian Allah S.W.T berfirman yang bermaksud : "Siapakah engkau dan siapakah Aku?". Lalu nafsu berkata, "Aku adalah aku dan Engkau adalah Engkau." Lalu Allah S.W.T menyiksa nafsu itu dalam neraka Juu' selama 100 tahun. Setelah dikeluarkan maka Allah S.W.T berfirman yang bermaksud : "Siapakah engkau dan siapakah Aku?". Akhirnya nafsu mengakui dengan berkata, " Aku adalah hambaMu dan Kamu adalah Tuhanku." Melalui kisah ini, kita perlu mengambil iktibar tentang kesombongan dan keangkuhan nafsu. Kita perlu menggandakan amalan dan mendapatkan sebanyak mungkin kelebihan Ramadhan dalam usaha membebaskan diri dari rantaian nafsu. Mungkin, Ramadhan pada tahun ini adalah peluang kita yang terakhir untuk memburu Lailatulqadar.


[Artikel ini disiarkan dalam Risalah Jumaat 29 Ogos 2008]


Selamat menyambut Ramadhan al-Mubarak dan Salam Kemerdekaan ke-51 pada semua mahasiswa dan mahasiswi UTM. Semoga kita sama-sama memerdekakan diri kita daripada segala aspek penjajahan...

17 Aug 2008

Agenda Terdekat..

Salam inspirasi...
Antara poster-poster agenda terdekat di UTM. Hanya sekadar untuk berkongsi.


Poster Jom Balik Kampong!!!


Poster Pesta Konvo ke-41

Pada sahabat-sahabat yang pulang bercuti ke kampung halaman, Selamat Bercuti diucapkan. Jaga keselamatan diri anda. Hati-hati di jalan raya. Penulis agak terkejut dengan bilangan kemalangan yang berlaku dalam minggu ini dalam UTM ini. Hampir 4 kemalangan berlaku dalam 1 minggu dan bagi penulis ia merupakan satu angka yang agak besar. Baru-baru ini berlaku lagi kemalangan selepas kes Norhanan berhampiran simpang CP- Arked Meranti melibatkan motorsikal dan kereta Kancil. Moga-moga kejadian seumpama ini tidak akan berulang lagi pada masa akan datang jika sekiranya langkah berhati-hati telah diambil.

Di antara poster-poster yang menarik perhatian penulis ketika melayari internet baru-baru ini.





9 Aug 2008

Pelbagai Program Ketika Ini..

Salam muhasabah...

Hangat universiti kita ketika ini dengan pelbagai program dan pesta. Hampir dikatakan keseluruhan kolej-kolej kediaman mempunyai trade mark mereka sendir dalam menarik minat penghuni-penghuni mereka untuk menyertai progra/pesta yang mereka anjurkan saban tahun setiap kali adik-adik baru masuk ke UTM.

Bermula dengan KTC dengan program 3K (Karnival Kampung Kempas) mereka, dikuti oleh KRP yang terkenal dengan Fiestra mereka. KTF pada sesi kali ini tidak melepaskan peluang mereka dengan memperkenalkan Karisma. Walaupun pada ketika itu, MPP sedang mengadakan Hari Terbuka UTM dengan kerjasama DiGi. Dengan kehadiran Inteam sebagai artis undangan pada malam kemuncaknya mampu untuk menarik perhatian mahasiswa yang meminati nasyid. Manakala Hari Terbuka UTM diserikan dengan kehadiran Wahidda dan artis-artis DiGi yang lain.

Dan yang sedang berlangsung ketika ini adalah Festar oleh KTR, koleh kediaman penulis. KTR masih lagi mengekalkan konsep lama mereka iaitu SUKAN. Pelbagai acara dan pertandingan sukan diadakan bagi memeriahkan Fiestar pada kali ini. Semoga Festar bakal bermula dan berakhir dengan baik.

Di atas penulis telah menyatakan beberapa program/pesta yang terdapat sekitar UTM yang dianjurkan oleh pihak-pihak tertentu. Masih ada lagi yang mungkin tidak penulis senaraikan antaranya Festival Kebudayaan baru-baru ini. Dan yang bakal berlangsung pada masa akan datang ialah Pesta Konvokesyen ke-41. Pihak penggerai amat menanti-nantikan kedatangan pesta-pesta seumpama ini. peluang untuk membuat duit akan terbuka luas, mahasiswa kita bakal berbelanja sebelum ketibaan bulan Ramadhan yang bakal menjelma tidak lama lagi.

Persoalan yang ingin penulis kemukakan di sini, mengapa begitu banyak pesta diadakan dan program-program islamik sekadar menjadi sajian sampingan dalam mana-mana pesta? Kita selaku golongan mahasiswa bersama-sama berfikir akan persoalan ini. Dan jika kita dapat nilai apakah program yang menjadi sajian utama dalam setiap pesta yang diadakan? Pasti setiap orang akan mempunyai jawapan mereka yang tersendiri. Apa pun, yang paling penting kita kena pastikan setiap program yang kita anjurkan mempunyai nilai-nilai intelektual dan bukan sekadar suka-suka atau atas alasan melihatkan universiti kita ini sunyi dan pesta adalah jalan yang terbaik untuk mengisi kesunyian tersebut. Sama-samalah kita berfikir demi memartabatkan ilmu pengetahuan yang kita peroleh...

Total Pageviews