Pages

30 Sept 2007

Mahasiswa dan kempen

salam mahasiswa kepada sahabat-sahabat sekalian,

Alhamdulillah sekali lagi kita dipertemukan oleh Allah dalam alam maya ni. Moga-moga pertemuan ini dapat memberi sesuatu input bukan sahaja kepada sahabat-sahabat bahkan kepada diri saya sendiri.

Dalam kita sibuk untuk berkempen pada Pilihan Raya Kampus(PRK) kali ini, pelbagai perkara telah berlaku di dalam mahupun di luar negara. Negara baru-baru ini telah digemparkan dengan pembunuhan kejam seorang budak perempuan yang di temui dalam beg sukan di Petaling Jaya. Saya yakin bahawa sahabat-sahabat juga mengikuti perkembangan kes pembunuhan kejam ini dari semasa ke semasa.

Dan, sehingga kini polis masih lagi tercari-cari siapakah pembunuh yang tidak berperikemanusiaan ini sehingga PDRM terpaksa menggunakan khidmat makmal FBI di USA bagi memperkukuhkan bukti yang sedia ada. Bukan itu sahaja, dilaporkan bahawa 2 agen FBI diterbangkan khas yang akan bekerjasama dengan PDRM dalam menyelesaikan misteri ini.

Terbaru, seorang wanita warga Indonesia telah ditahan untuk membantu siasatan dan didapati pengsan di mahkamah. Suspek dikatakan telah menelan bukti yang berupa SIM kad bagi menghilangkan bukti.

Sahabat-sahabat sekalian, kita lihatlah betapa parahnya dan kroniknya 'penyakit' yang telah melanda masyarakat Malaysia kini. Dan kita kena ingat ini adalah petanda-petanda dunia akhir zaman yang telah dinyatakan oleh Baginda Rasullah S.A.W. lebih 1400 tahun dahulu. Mahu tak mahu hanya satu sahaja ubat yang dapat mengembalikan keamanan negara kita yang tercinta ini iaitu apabila kita kembali mengamalkan Islam dengan sebenar-benarnya.

Akhir kalam untuk kali ini, saya berharap agar para mahasiswa/i UTM dapat membuat keputusan yang terbaik dalam PRK kali ini. Hala tuju kepimpinan MAHASISWA UTM terletak dalam genggaman tangan anda semua. Salam mahasiswa.

28 Sept 2007

Mahasiswa dan Pilihan Raya Kampus

Assalamualaikum.

Bertemu kembali kita. Dalam sedar tak sedar kita sudah berada di suasana rutin bagi semester satu iaitu demam pilihan raya kampus.

Apakah itu Pilihanraya Kampus?

Pilihanraya adalah satu kaedah demokrasi yang diguna pakai dalam negara kita dalam menentukan pemimpin yang akan memerintah sesuatu tempat. Dalam amalan pilihanraya, akan ada pertandingan dari pihak yang berlawanan. Ini akan menyebabkan wujudnya kumpulan-kumpulan yang dibentuk untuk menghadapi pilihanraya ini. Situasi ini berlaku untuk pilihanraya umum yang telah dilaksanakan oleh kerajaan Malaysia. Adapun bagi pilihanraya kampus situasinya tidak sebegitu. Calon tidak dibenarkan bertanding di atas tiket mana-mana kumpulan dan hanya dibenarkan bertanding secara individu. Bercakap berkenaan pilihanraya adalah tidak menjadi kesalahan kerana dalam perlembagaan Malaysia sendiri ada peruntukan mana-mana individu yang telah berumur 21 sudah boleh mengundi mana-mana parti politik.

Apakah peranan teman-teman?

Pilihanraya kampus diadakan saban tahun bagi memilih barisan kepimpinan dalam Majlis Perwakilan Pelajar (MPP). MPP adalah satu badan yang penting bagi menghubungkan mahasiswa dengan pentadbiran universiti. Hanya pemimpin yang baik dan berkaliber mampu membawa suara pelajar sampai ke pihak pentadbiran. Jadi bagi memastikan pemimpin yang dipilih adalah tepat, undi anda semua adalah amat ditagih. Undilah calon yang diyakini mampu membawa suara kebajikan anda.

Undilah saya.

Kenapa perlu memilih saya sebagai pemimpin anda? Tujuan saya menjadi calon pilihanraya kali ini adalah bagi memastikan kebajikan pelajar fakulti kejuruteraan mekanikal sentiasa terjamin. Kebajikan pelajar akan menjadi fokus/agenda utama saya apabila dipilih kelak. InsyaAllah dengan berkat pengalaman menjadi exco setahun yang lepas akan saya gunakan untuk memastikan segala keperluan dan kebajikan anda terjaga. Jadi.. undilah saya. InsyaAllah kebajikan anda akan terjaga...

Ayuh, teman-teman.. turunlah mengundi dan undilah calon yang boleh memberi manfaat kepada anda. Gunakanlah kuasa memilih yang ada pada anda semua.

27 Sept 2007

Salam perkenalan..

Assalamualaikum..

Pertama-tama dan selama-lamanya, saya ingin memanjatkan seinfiti kesyukuran pada Allah SWT kerana masih memberi ruang dan peluang kepada saya untuk mengecapi nikmat sebagai umat Islam. Selawat dan salam ke atas junjungan kekasih Allah, Nabi Muhammad SAW dan para sahabat baginda. Tanpa usaha dan perjuangan Rasullah dan para sahabat, kita tidak akan dapat menikmati 2 nikmat yang paling besar Allah anugerahkan kepada hambaNya iaitu nikmat Iman dan nikmat Islam.

Salam perkenalan dan salam perjuangan. Sudah menjadi adat bila bertemu, kita perlu saling mengenali. Sebagai permulaan pada blog ini, adalah menjadi kemestian pada saya untuk mentaaruf diri saya serba sedikit agar saudara/i dapat mengenali siapa diri saya ini.

Nama diberi Tuan Ahmad Zahidi Tuan Abdul Rahman, merupakan pelajar tahun 3 Sarjana Muda Mekanikal di Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, Universiti Teknologi Malaysia. Dilahirkan dalam keluarga sederhana di kampung. Medapat pendidikan awal di Sek. Keb. Getang, Hulu Terengganu kemudiannya menyambung pelajaran ke SMKA Durian Guling, Marang Trg. Selepas mendapat keputusan yang baik dalam PMR, saya telah ditawarkan ke SMAP Labu, Negeri Sembilan. Seterusnya, berbekalkan SPM yang diperoleh saya diterima masuk ke Kolej Matrikulasi Kedah, Changlun dalam aliran Fizikal. Setelah tamat pelajaran di sana, saya mendapat tempat di UTM tercinta ini. Begitulah serba sedikit latar belakang pelajaran saya.

Saya baru sahaja berjinak-jinak dengan dunia blogspot ini. Saya melihatkan ini adalah saluran yang terbaik bagi saya untuk lebih mendekati lagi rakan-rakan di sekitar kampus. Semoga dengan adanya interaktif antara kita akan mengeratkan lagi silaturahim yang terbina.

Total Pageviews