Pages

13 Jul 2008

Daripada Mahasiswa Kepada Mahasiswa...

Assalamulaikum w.b.t.

Setinggi dan seinfiti mungkin kita panjatkan kesyukuran kita pada Allah S.W.T. atas segala nikmat kurniaanNya selama kita hidup di atas muka bumi ini. Dia masih lagi mengekalkan lagi dua nikmat yang paling besar dianugerahkan pada hambaNya iaitu nikmat Islam dan nikmat Iman. Selawat serta salam ke atas rasul junjungan kita, Nabi Muhammad S.A.W. utusan ke sekalian alam, utusan terakhir yang membawa risalahNya sehingga kita pada hari ini bergelar seorang muslim. Tanpa pengorbanan dan susah payah baginda dalam menyampaikan risalah kebenaran ini, tidak mungkin kita mendapat sinar Islam dam sinar Iman tika ini. Dan tidak lupa juga setinggi rasa syukur kita kerana diberi peluang untuk menjejak kaki ke taman ilmu ini di mana bukan semua orang dapat merasainya. Hargailah peluang diberikan sebaik mungkin kerana ianya menjadi harapan kedua orang tua kita untuk melihat kita berjaya di menara gading ini.


Aku dah jadi seorang Mahasiswa???


Mungkin ada di antara adik-adik yang baru sahaja menjejak kaki di bumi UTM ini masih lagi tercari-cari apakah identiti yang seharusnya dipakai sepanjang berada di UTM selama mungkin 3 tahun hingga ke 4 tahun dari sekarang. Saat ini begitu penting bagi adik-adik dalam meletakkan matlamat yang hendak dicapai di kemudian hari. Adakah adik-adik ingin belajar bersungguh-sungguh dalam setiap matapelajaran yang diambil? Adakah adik-adik ingin aktif dalam berpersatuan di samping ingin berjaya juga dalam akademik? Atau adik-adik sekadar ingin belajar cukup-cukup makan dan enjoy dengan kehidupan muda di universiti ini? Semua pilihan ini terserah pada adik-adik dalam mencorakkan kehidupan adik-adik di universiti ini. Cuma satu pesanan dari kami, pandai-pandailah memilih sahabat kerana sahabat inilah yang akan menentukan di mana kedudukan adik-adik pada masa akan datang. Timbul atau tenggelam masa depan adik-adik bergantung kepada setiap langkah yang adik-adik buat ketika ini.


Apa tujuan hidupku???


“Dan tidaklah Aku menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembahKu”
[az-Dzariyat, ayat 56]

“Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi.”

[al-Baqarah, ayat 30]


Dua ayat al Quran yang di bawakan di atas cukup jelas menerang dua core bisnes kita di atas dunia ini. Kita diutuskan oleh Allah S.W.T ke dunia ini untuk menjadi hambaNya yang taat di samping menjadi khalifah/pentadbir kepada dunia ciptaanNya ini. Persoalan yang ingin penulis timbulkan di sini, Bagaimana kita selaku mahasiswa Islam mengaplikasikan kedua-dua tanggungjawab ini dalam kehidupan kampus kita ini? Tidak dapat tidak setipa daripada kita bertanggungjawab dalam melakukan amar maaruf dan nahi mungkar dalam setiap apa jua aktiviti yang berlaku sekitar kampus kita ini. Jauhilah perkara maksiat ketika menuntut ilmu kerana ilmu itu nur (cahaya) dan sesungguhnya cahaya tidak akan masuk ke dalam hati pembuat maksiat. Sensitif dan responsiflah dengan keadaan semasa kampu kita kerana kita merupakan golongan intelektual terpilih daripada beribu-ribu lagi insan yang yang berusaha untuk mendapat peluang seperti kita.


Harapan kami....


Buat akhirnya, carilah majlis-majlis ilmu atau taman-taman syurga Allah di dalam UTM ini. Banyak pengisian-pengisian yang disediakan pihak pentadbiran Masjid Sultan Ismail dan juga Pejabat Hal Ehwal Pelajar. Penuhilah kuliah-kuliah tafaquh yang diadakan pada setiap pagi dan petang. Sertailah liqa-liqa perbincangan tentang Islam bagi menambahkan lagi kefahaman kita terhadap agama yang kita cintai dan anuti ini. Islam tidak memerlukan kita tapi kita yang mendambakan rahmat dan kasih dariNya. Selamat maju jaya untuk harapan baru UTM demi inspirasi baru kepada agama, bangsa dan nagara.Wassalam..



[Artikel ini diterbitkan khas bersempena kedatangan adik-adik baru sesi 2008/09 ke Universiti Teknologi Malaysia dalam Seruan Jumaat edisi ke-2. Semoga adik-adik maju jaya dalam pelajaran dan kehidupan di kampus adik-adik.]

10 Jul 2008

Pemergian Nenek Tercinta Membawa Seribu Satu Kenangan...

1 Julai 2008 ketika senyum adik-adik yang baru melangkah masuk ke taman ilmu ini masih lagi segar, masih lagi melekat pada bibir mereka, DIA datang menjemput kembali nenekku ke pangkuanNya. Dalam keadaan agak sukar untuk menerima kenyataan ini, hati ini harus pasrah dengan ketentuanNya. Nenek ku milikNya. Kita semua adalah milikNya dan nyawa kita adalah pinjaman daripadaNya.

Apa pun yang berlaku, hidup ini kita harus diteruskan. Yang telah pergi tidak akan kembali lagi. Yang mampu aku lakukan adalah mendoakan kesejahteraan arwah di sana, tempat yang bakal menempatkan sekalian insan termasuklah diri kita yang kerdil ini. Seminggu ku tidak melihat blog ini, kadang-kadang formal dan kadang-kadang santai pengisinya ku rasakan. Inilah target ku untuk blog yang tidak seberapa ini. Terima kasih pada sahabat yang melawat.

Terasa satu kerugian dalam diri ini bila Minggu Haluan Siswa sesi ini tidak dapat ku tempuhi sehingga ke akhirnya. Sekembalinya aku ke kampus, pelbagai cerita-cerita indah dan manis telah mereka ciptakan ketika ketiadaanku. Yang paling penting, segala keperluan adik-adik freshies dalam persediaan untuk menempuhi alam kampus ini diharapkan dapat dibekalkan sedikit sebanyak sepanjang MHS ini berlangsung. Mesti penatkan uruskan PTPTN adik-adik baru ni? Moga adik-adik ini berterima kasih atas pengorbanan yang dilakukan oleh abang-abang dan akak-akak agen kita di semua kolej.

InsyaAllah, post yang akan datang bakal diserikan dengan wajah-wajah gembira adik-adik freshies sepanjang MHS melalui lensa kemeraku. Anda adalah harapan baru yang bakal menjadi inspirasi baru kepada UTM tercinta kita ini.

25 Jun 2008

Selamat Datang Buat Adik-adik ku!!!

Salam inspirations...

Kelihatan muka UTM kini makin berseri-seri. Tidak lama lagi kita bakal menerima kehadiran tetamu dari segala pelusuk tanah air kita ini. Sesuatu yang amat dinanti-nantikan, semoga adik-adik ini bakal meneruskan dan mecambahkan penyuburan ilmu pengetahuan di UTM ini pada masa akan datang. Selamat Datang diucapkan pada adik-adik tersayang..Kami menanti dengan tangan yang terbuka.

Mungkin dalam post kali ini, penulis ingin berkongsi saat suka duka ketika mengikuti Kursus Induksi Minggu Haluan Siswa di Akademi Pembangunan Belia Malaysia (APBM), Port Dickson pada 20-22hb Jun baru-baru ini. Banyak perkara dan pengalaman baru yang diperolehi dan memperingatkan kembali ilmu-ilmu yang telah dipelajari. Pada hari terakhir di sana, ketua fasilitator membuat rumusan yang cukup ringkas tapi sarat dengan panduan yang boleh dipetik dan dihadam oleh kita pelajar kanan yang bakal menjadi penyambut kepada freshies. Kita bakal menjadi muka depan UTM di mata ibu bapa freshies ini. Oleh itu, good luck pada muka depan- muka depan UTM. Moga Allah jua yang bakal membalas segala jerih perih mu dalam membuka lembaran baru dalam kehidupan buat adik-adik baru kita ini.


11 Jun 2008

Peranan Kita Mahasiswa dalam Isu Semasa Negara: Satu Persoalan?

Salam inspirasi pada semua....


Dalam kita menempuh cuti kita yang hanya berbaki beberapa minggu lagi ini, pelbagai isu panas dan hangat muncul di tanah air tercinta kita semua ini. Rakyat kini berdepan dengan satu krisis yang bakal tidak berkesudahan. Itu yang dapat penulis rumuskan atas apa yang berlaku dalam negara kita.


Minyak oh Minyak...


Isu yang cukup sensitif bagi sesetengah pihak namun ianya amat penting untuk diperhalusi kerana ‘emas hitam’ ini begitu penting pada sesebuah negara membangun seperti Malaysia. Walaupun telah dikurniakan oleh Allah sebagai sebuah pengeluar minyak yang berkualiti di dunia namun kita masih lagi berhadapan dengan kenaikan harga minyak yang mendadak. Disebabkan oleh kenaikan harga minyak dunia yang dikawal oleh Amerika Syarikat yang ketika ini menghadapi masalah kelembapan ekonomi, satu dunia menerima padah. Malaysia juga tidak terkecuali. Rakyat rata-rata masih lagi tidak dapat menerima kenyataan bahawa harga minyak di pasaran kini ialah RM 2.70! Penulis juga berpendirian sebegitu. Ianya bakal membebankan rakyat bawahan terutamanya masyarakat Melayu yang berpendapatan rendah. Apatah lagi jika kita mahasiswa di IPTA ini yang hanya mempunyai pinjaman PTPTN sahaja. Rakyat bakal terbeban dari hari ke hari mendatang.

Apa yang berlegar dalam fikiran penulis adalah kesan ekonomi dan sosial yang dibawa oleh kenaikan harga minyak ini. Kos sara hidup rakyat Malaysia bakal meningkat. Rakyat semakin dihimpit. Kemungkinan besar paras kemiskinan tegar rakyat Malaysia bakal meningkat. Apa yang lebih penting lagi ialah usaha yang dilakukan selama ini untuk mengurangkan paras kemiskinan tegar ini akan menjadi sia-sia jika ekonomi masyarakat Melayu merosot. Jadi apa gunanya Dasar Ekonomi Baru (DEB), Dasar Wawasan Negara (DWN) yang menggantikan DEB dan pelbagai dasar lagi yang dibentuk oleh kerajaan dalam mengimbangi sosio-ekonomi antara kaum di negara kita ini?

Dari sudut sosial pula, penulis melihatkan bahawa kes-kes jenayah seperti mencuri, meragut dan merompak akan meningkat disebabkan oleh kos sara hidup yang meningkat ini. Tanpa ajaran atau didikan agama yang kukuh kes jenayah ini pasti sukar untuk ditangani. Dua aspek ekonomi dan sosial inilah yang penulis bimbang akan menyusul selepas naiknya harga minyak di pasaran. Mungkin pihak yang bertanggungjawab perlu melakukan kajian untuk mengkaji kesan kenaikan harga minyak yang mendadak ini ke atas kehidupan rakyat.


Majlis Fatwa jadi tempat rujukan


Kedengaran di sini sana sedang sibuk membincangkan hukum hakam sesuatu perkara yang bakal atau telah dilakukan oleh beberapa pihak. Isu hukum caj perkhidmatan yang dikenakan oleh Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN) sama ada haram atau tidak dan hukum peraduan yang dianjurkan oleh Celcom: 100 hari 100 kereta sama ada judi atau tidak, kedua-duanya kini menjadi perhatian umum. PTPTN menjadi pilihan kebanyakan mahasiswa Islam Melayu dalam usaha untuk melanjutkan pengajian ke peringkat universiti di Malaysia. Walaupun isu ini sudah lama dipersoalkan kedudukan status halal atau haramnya, namun kini kita seharusnya bersyukur kerana mendapat perhatian daripada pihak PTPTN untuk merujuk kepada JAKIM dan Majlis Fatwa. Saranan agar caj perkhidmatan itu diubah atau dikaji balik disambut baik oleh golongan mahasiswa Islam terutamanya. Terima kasih diucapkan kepada pihak PTPTN kerana melegakan kerisauan sebahagian besar mahasiswa di IPT.

Begitu juga dengan isu pengiklanan oleh Celcom yang dikatakan judi oleh sesetengah pihak. Pihak Celcom sendiri bersutuju agar ianya dikaji balik. Ini meneunjukkan bahawa peranan institusi agama Islam di Malaysia masih lagi mampu menjadi rujukandalam kes-kes yang membabitkan hal ehwal Islam. Contohnya, apabila cadangan penggunaan dakwat kekal daripada India oleh Suruhanjaya Pilihan Raya baru-baru ini juga merupakan antara langkah yang bijak oleh kerajaan. Penulis melihatkan fungsi institusi agama Islam perlu diperbanyakkan bagi memberi peluang untuk rakyat beragama Islam untuk hidup dalam keadaan selesa dan tanpa ragu-ragu dalam hukum hakam.


Kedaulatan Malaysia tergadai????


‘Win win situation’ yang diperkatakan oleh bekas Menteri Hubungan Antarabangsa apabila negara kita gagal dalam pembicaraan menuntut hak yang sepatutnya menjadi milik Malaysia. Oleh kedudukan berada sekitar Johor di mana UTM di tempatkan, seharusnya isu ini menjadi perhatian kepada kita golongan mahasiswa. Apa pun yang terlepas mustahil untuk diperoleh kembali. Persoalannya di mana usaha kita selaku mahasiswa dalam isu ini? Selaku rakyat Malaysia yang mempunyai daya intelektual yang tinggi dari rakyat yang lain, mahasiswa seharusnya terkehadapan dalam isu ini. Begitu juga golongan intelektual di universiti-universiti, apa yang telah kita lakukan? Kita merupakan orang terpelajar, tapi sumbangan kita kepada negara hanya sekadar di dalam skop kerja sahaja. Masyarakat luar memerlukan pertolongan kita sebenarnya untuk mengatasi kemelut-kemelut yang melanda negara kita. Tapi kita hanya sekadar mendiamkan diri.

Kemungkinan-kemungkian kes-kes tuntutan yang lain juga bakal dihadapi oleh Malaysia pada masa akan datang. Kes Pulau Pisang dan tuntutan Sabah oleh kesultanan Sulu mungkinkah menerima nasib seperti kes Pulau Batu Putih apabila dibangkitkan? Kita sama-sama akan menyaksikan kehebatan peguam negara kita beraksi di pentas dunia jika perkara ini benar-benar terjadi.


Apa mahasiswa buat????


Apa yang perlu dipersoalkan adalah di mana kita, mahasiswa dalam isu-isu besar negara seperti ini? Kita tengah bergembira berada di kampung halaman tatkala krisis besar melanda negara kita. Banyak lagi isu yang memerlukan perhatian serius kerajaan untuk diatasi segera demi kepentingan rakyat terutamanya. Di sinilah pentingnya pemimpin yang berkebolehan dan yang mengutamakan kesejahteraan rakyat berbanding perkara-perkara lain. Oleh itu, penulis menyeru dan menggesa agar mahasiswa terutamanya di UTM sendiri agar peka pada perubahan semasa negara di mana kitalah yang bakal mengisi kemerdekaan pada masa akan datang. Majulah mahasiswa untuk negara tercinta!!!

17 May 2008

Selamatkan Terengganu, Tanah Tumpahnya Darahku....



Salam inspirations...salam mahasiswa..
Sebagai anak Terengganu yang prihatin, penulis sekadar menyebarkan tentang perkara penting bagi meneruskan kelangsungan pembangunan di negeri tercinta penulis. Semoga kempen ini bakal memberikan keadilan yang sepatutnya kepada rakyat negeri Terengganu dan sedikit sinar harapan kepada kemajuan negeri Terengganu. Lawati website http://www.mampat.blogspot.com/ untuk keterangan lanjut. (",)

Total Pageviews