Salam mahasiswa, tanggal 13hb Feb 2008 Majlis Perwakilan Pelajar sesi 2007/08 telah mengadakan satu mesyuarat kebajikan bersama Pejabat Hal Ehwal Pelajar. Mesyuarat yang diadakan di Dewan Jamuan, blok pentadbiran UTM telah dimulakan pada pukul 2.30 petang dipengerusikan sendiri oleh Yg. Berbahagia Dato' Prof. Ir. Dr. Alias Mohd Noor, Timb. Naib Censelor Hal Ehwal Pelajar & Alumni (HEPA), Universiti Teknologi Malaysia.
Dalam kesempatan yang ada ini, Presiden MPP saudara Mohd Hafiz b. Mohd Johari telah membentangkan satu kertas proposal yang lengkap telah disediakan oleh pihak MPP sesi kali ini. Jabatan Kebajikan MPP antara pihak yang bertanggungjawab untuk menyediakan proposal ini hampir setiap malam bersengkang mata untuk memenuhi tuntutan pelajar. Antara isu yang hangat diketengahkan adalah isu berkaitan access internet di blok-blok kediaman pelajar. Kami mendapat feedback bahawa penyediaan peralatan yang lama menyukarkan pihak CICT untuk menyiapkan kemudahan ini dalam jangka masa yang telah ditetapkan. Diharapkan pihak pelajar dapat bersabar dan MPP dalam usaha mendesak agar dipercepatkan kemudahan ini memandangkan permintaan yang tinggi oleh pelajar.
Isu kedua yang saya merasakan hangat diperbincangkan adalah berkenaan pelajar antarabangsa. Kalau kita lihat, bilangan mereka kini kian bertambah di UTM ini saban semester. Setiap kali pengambilan dilakukan oleh universiti dalam usaha universiti kita ini untuk mengejar gelaran universiti berkelas antarabangsa pada tahun 2010. Namun adakah usaha ini berbaloi setakat ini? Itulah persoalan yang sering bermain di fikiran kita apabila terjadi pelbagai kes-kes disiplin dan moral yang melibatkan pelajar antarabangsa. Pihak pentadbiran digesa untuk mengkaji balik dasar yang digunakan untuk penggambilan pelajar antarabangsa ini kerana ada di kalangan mereka yang dikatakan gagal untuk memenuhi syarat bahasa yang telah ditetapkan. Mereka dikatakan kurang mahir berkomunikasi dalam bahasa Inggeris dengan berkesan. Bahkan apa yang lebih merisaukan kita lagi perkara ini bukan sahaja melibatkan pelajar asing bahkan juga melibatkan pensyarah asing yang diambil oleh pihak universiti. Moga kita selaku mahasiswa sama-sama berusaha memberikan pandangan kepada pihak bertanggungjawab agar dapat mengatasi masalah ini.
Dan antara lainnya, isu parking kenderaan pelajar yang semakin meruncing di kawasan akademik pada masa akan datang juga antara yang disentuh. Untuk pengetahuan pihak mahasiswa, parking kereta pelajar berdekatan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM) bakal digunakan untuk membina bangunan baru untuk Fakulti Kejuruteraan Elektrik (FKE). Perkara ini bakal menjadi isu hangat di kalangan mahasiswa pada masa akan datang. Di pihak kami MPP gagal untuk mempertahankan kebajikan pelajar ini disebabkan pihak Senat universiti telah meluluskan pembinaan bangunan tersebut. Oleh itu, alternatif baru perlu diwujudkan bagi mengatasi masalah ini.
Isu laluan berbumbung, papan kenyataan di perhentian bas yang baru, pengurangan kadar sewa simpanan barang di kolej-kolej ketika cuti, penyelenggaraan yang lewat oleh pihak Harta Bina juga antara perkara yang dibangkitkan. Di sini saya hanya sekadar mengutarakan isu-isu kebajikan yang telah dibangkitkan dalam mesyuarat semalam. Untuk itu, adalah penting bagi mahasiswa mengambil cakna tentang keadaan semasa kebajikan pelajar di universiti kita ini. Saya amat menggalakan agar pembaca sekalian berjumpa terus dengan mana-mana ahli Majlis Perwakilan Pelajar bagi mendapatkan penjelasan tentang isu-isu kebajikan ini.
"Kebajikan Mahasiswa Keutamaan Kami"
Seterusnya koleksi gambar sekitar mesyuarat ini...'^_^
No comments:
Post a Comment